Sunday, March 25, 2012

Bimbingan dan Kaunseling


a)      Kepentingan dan fungsi teori dalam kaunseling.

Sebelum saya menjelaskan berkenaan kepentingan dan fungsi teori dalam kaunseling, saya akan menjelaskan maksud atau definisi teori. Teori adalah suatu bentuk intelektualisme dalam idea dan konsep yang dimiliki oleh seseorang individu menerusi asas pekerjaannya, pengalamannya, pembacaannya yang berbentuk saintifik sifatnya, maka perlu diuji, diselidik dan diramalkan. Teori juga merupakan suatu andaian yang mengandungi beberapa idea dan pandangan daripada tokoh-tokoh bertujuan menjelaskan sesuatu kejadian atau fenomena. Kepentingan teori kepada kaunselor ialah ia dapat memberi maksud, keyakinan dan halatuju yang jelas kepada seseorang kaunselor.
Dalam kita membincangkan kepentingan dan fungsi teori dalam kaunseling, ada juga tokoh-tokoh yang menafikan kepentingan teori dalam kaunseling. Seperti Arnold Lazarus (1981) yang mengatakan bahawa kaunselor atau terapis tidak memerlukan teori. Smith & Glass(1977), pula menyatakan, pandangan sesuatu teori itu diberikan taraf kepentingan yang begitu tinggi yang tidak sepatutnya.
Ada juga di antara mereka itu berpendapat bahawa teori itu sangat penting seperti pendapat Jerome Frank (1971), yang bersetuju tentang kepentingan teori kepada orang yang mengamalkannya kerana ia memberi erti, keyakinan dan halatuju kepada kaunselor. Daripada keterangan Frank, ini menunjukkan bahawa, teori memberi fokus kepada kaunselor tentang apa yang dilakukannya terhadap kliennya. Pendapat ini juga dipersetujui oleh Zainal Abidin Ahmad (2005).
Kepentingan dan fungsi teori dalam kaunseling dapat dilihat dalam pelbagai teori. Antaranya ialah:


Ø      Teori Psikoanalisis
Teori Psikoanalisis ini diasaskan oleh Sigmund Freud. Teori ini bukan sekadar teori tetapi ia berfungsi dan dijadikan terapi. Dalam teori ini, Sigmund Freud telah membahagikan fikiran insan kepada tiga bahagian atau elemen, iaitu alam sedar (concious), alam pra-sedar (sub-concious) dan alam tidak sedar (uncouncious).

Ø      Teori Pemusatan Klien
Dalam teori pemusatan klien pula, ia dipelopori oleh Carl Rogers sebagai reaksi kepada pendekatan tradisi yang terlalu mementingkan diagnosis, menyiasat dan mentafsir. Beliau percaya bahawa insan itu baik, boleh dipercayai dan berusaha ke arah kesempurnaan diri. Insan juga berkeupayaan untuk memahami dirinya sendiri dan dapat menyelesaikan masalahnya sendiri tanpa campurtangan orang lain mahupun kaunselor.
Ø      Teori Gestalt        
Teori ini dipelopori oleh Friedrich Solomon Perls. Gestalt merupakan satu pola, bentuk atau konfigurasi yanga diamati oleh seseorang yang terdiri dari beberapa bahagian yang dilihat sebagai satu keseluruhan yang menghasilkan makna yang tersendiri. Ia juga merupakan satu bentuk atau konfigurasi yang menonjol dan menjadi pusat perhatian atau tumpuan di atas satu latar belakang.
Teori Terapi Rasional Emotif (RET)
Albert Ellis yang mempelopori teori ini. Ia memberi fokus kepada aspek kognitif, penganalisisan, emosi, tingkahlaku dan membuat penilaian. Ia menitikberatkan soal nilai dan kepercayaan yang tidak rasional yang dianut oleh kebanyakkan insan yang akhirnya membawa kepada masalah. Ia juga berorentasikan kepada pendidikan semula dan menggantikan sistem kepercayaan klien yang salah.
Ø      Teori Tingkahlaku (Behaviorisme)
Teori ini  berkembang dari tiga tahap. Tahap pertama yang diasaskan oleh Pavlov (1960) dan Hull (1943) yang menghasilkan Teori Pelaziman Klasik yang memperkatakan berkenaan jika ada rangsangan maka akan terhasillah tindak balas. Watson pula membuktikan bahawa emosi seseorang boleh dipelajari dan diubah dengan menggunakan prinsip pembelajaran berdasarkan teori pelaziman klasik Pavlov. Tahap kedua pula ialah Pelaziman Operan yang diasaskan oleh Skinner (1920) yang memberi tumpuan kepada peneguhan, pelupusan dan hukuman. Penggunaan prinsip pelaziman operan ialah sebagai teknik mengubah tingkahlaku  yang dinamakan teknik modifikasi tingkah laku. Tahap ketiga pula dikenali sebagai terapi tingkahlaku kognitif yang menggabungkan aliran ketingkahlakuan dan aliran kognitif.
Kesemua teori ini amat penting dalam membantu kaunselor melaksanakan proses kaunseling bagi memberikan erti, keyakinan dan halatuju seseorang kaunselor. Teori ini juga penting kepada kaunselor kerana ia dapat memberi fokus kepada kaunselor apa yang hendak dilakukannya terhadap klien dan ia juga dijadikan panduan untuk membuat rancangan dan persediaan sebelum menjalankan proses kaunseling. Teori juga amat penting dalam membolehkan seseorang/kaunselor mengetahui:-
ü      Tentang pandangan dan sikap terhadap manusia secara keseluruhannya.
ü      Samada nilai budaya, masyarakat dan agama mempengaruhi sikap dan pandangan seseorang terhadap manusia.
ü      Bagaimana manusia belajar.
ü      Perkembangan sahsiah/personaliti, samada diwarisi/dipelajari.
ü      Bolehkah manusia berubah dan bagaimana mereka berubah.
ü      Penyebab perlakuan luar biasa. Apakah perlakuan itu boleh diterima atau tidak.
Teori juga berfungsi adalah untuk:-
Ø      menjelaskan sesuatu kejadian yang berlaku setelah membuat beberapa pemerhatian.
Contohnya, jika diambil satu teori yang mengatakan bahawa “setiap tingkah laku yang mendapat peneguhan akan berulang”, misalnya, untuk membuat penjelasan mengapa seorang remaja itu suka melukis? Kita boleh menjelaskan bahawa remaja itu mungkin telah mendapat pujian daripada ibu bapanya atau gurunya kerana suka melukis.

Ø      menguasai keadaan tertentu.
Contohnya, sekiranya kita hendak gunakan teori ini, kita akan cuba memberi sebanyak mungkin peneguhan kepada remaja yang menunjukkan keinginan melukis apa sahaja, sama ada kenderaan atau pemandangan.

Ø      membuat sesuatu ramalan.
Contohnya, seorang guru yang selalu memberi pujian atau komen positif terhadap muridnya yang suka melukis dan mengamalkan perlakuan yang baik. Kita boleh membuat ramalan bahawa murid yang mendapat komen positif (peneguhan) dari gurunya akan meneruskan tabiat suka melukis.     

b)      Komponen komponen utama yang telah membawa kepada kewujudan teori kaunseling behaviorisme.
Secara umumnya, sejarah kewujudan teori kaunseling behaviorisme adalah sangat panjang. Pendekatan tingkahlaku atau behavioral approach dalam kaunseling berkembang dari tiga tahap atau komponen.

Komponen Pertama
Komponen pertama ini diasaskan oleh Pavlov (1960) dan Hull (1943) yang menghasilkan pelaziman klasik atau kadang-kadang disebut juga sebagai pelaziman responden. Berdasarkan pelaziman klasik ini, Pavlov mencadangkan bahawa proses asas pembelajaran ialah pembentukan perkaitan antara rangsangan dengan sesuatu gerak balas. Pavlov cuba membuktikan teori pembelajaran ini dengan menjalankan eksperimen ke atas seekor anjing. Dia mendapati bahawa anjing melihat bekas dengan makanan, air liur akan terkeluar. Dia membuat kesimpulan bahawa anjing tersebut telah 'belajar' mengaitkan bekas makanan yang dilihat dengan makanan yang akan diberikan kelak. Pavlov melanjutkan kajiannya dengan menguji hipotesis bahawa sesuatu organisme boleh diajar bertindak dengan pemberian sesuatu rangsangan.
John Broadus Watson adalah orang yang pertama menngunakan perkataan “behaviorisme”. Beliau sangat dipengaruhi oleh model pelaziman klasik Pavlov. Beliau berpendapat bahawa perbezaan antara manusia ialah pengalaman. Pengalaman yang baik boleh diubah menjadi pengalaman yang buruk. Menurut beliau lagi, rangsangan yang didedahkan dan jenis gerak balas akan mempengaruhi pengalaman pembelajaran murid.  Dalam sebuah kajian, beliau telah menggunakan prinsip Pavlov, iaitu prinsip pelaziman klasik. Kajian ini berkenaan seorang budak kecil bernama Albert. Kajian ini adalah untuk menggambarkan kuasa pelaziman (conditioning). Albert yang berumur 11 bulan tidak menunjukkan sebarang rasa takut pada seekor tikus putih. Semasa pelaziman Albert hendak mengambil tikus, bunyi pemukul diketuk pada besi. Kesannya Albert terkejut dan terjatuh. Keadaan itu diulang berkali-kali. (tikus putih dan berbunyi pemukul). Akhirnya eksperimen menunjukkan Albert memberi reaksi emosional lagi ia menunjukkan reaksi emosi yang sederhana. Kesimpulannya, pelaziman boleh melahirkan reaksi emosional dan menunjukkan bahawa emosi seseorang boleh dipelajari dan diubah dengan menggunakan prinsip pembelajaran. Atas faktor komponen pertama inilah teori kaunseling behaviorisme mula berkembang.

Komponen Kedua
Komponen kedua pula lahirnya Pelaziman Operan yang diasaskan oleh Burhus Frederick Skinner atau lebih dikenali sebagai B.F. Skinner. Menurut Skinner (1953) dalam kajiannya menunjukkan pelaziman operan organisma bertindakbalas terhadap persekitaran dalam proses pembelajaran. Pelaziman operan meningkatkan kebarangkalian pengulangan sesuatu gerakbalas. Peneguhan biasanya dapat menambahkan kebarangkalian gerak balas yang akan berlaku. Peneguhan adalah sesuatu yang memungkinkan sesuatu tingkahlaku itu diulang kerana ada unsur keselesaan atau rasa senang.
Peneguhan dalam pelaziman operan ada dua, iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif ialah memberikan sesuatu ganjaran setelah perlakuan itu ditunjukkan, yang menyebabkan perlakuan itu diulangi atau diperkuatkan lagi. Contohnya seorang pelajar mengemukakan soalan dengan baik dan guru memuji tindakan pelajar itu tadi. Maka tingkahlaku di masa akan datang ialah, pelajar itu akan mengemukakan soalan yang baik dengan lebih banyak lagi.
Peneguhan negatif pula ialah rangsangan serta merta yang tidak selesa atau menyakitkan yang diberikan selepas sesuatu tingkah laku itu ditunjukkan. Sebagai contoh, seorang pelajar tidak dapat menyiapkan tugasan tepat pada waktunya, maka guru menegur pelajar tersebut. Oleh itu pelajar akan menyiapkan tugasan yang seterusnya tepat pada waktunya. Hukuman dan pelupusan (exinction) mengurangkan tingkah laku berulang. Hukuman adalah satu proses atau tatacara untuk melemahkan atau mengurangkan berulangnya tingkah laku yang tidak diingini. Tegasnya, hukuman adalah kesan negatif yang membawa kepada pengurangan dalam kekerapan berlakunya tingkah laku tersebut. Pelupusan ialah untuk mengurangkan sesuatu tingkah laku yang tidak dikehendaki ini memadai dibiarkan sahaja atau tidak diberi sebarang respon pada orang yang menyampuk.
  Penggunaan prinsip pelaziman operan adalah sebagai satu kaedah bagi mengubah tingkah laku seseorang yang dinamakan teknik modifikasi tingkah laku atau behaviour modification. Dari segi perlaksanaan, kadang-kadang teknik ini disamakan dengan teknik terapi ketingkahlakuan.Skinner menggunakan modifikasi tingkah laku ke atas individu atau terhadap satu kumpulan kecil. Maka dengan adanya komponen yang kedua ini maka ianya akan dapat membantu kepada kewujudan teori kaunseling behaviorisme.

Komponen Ketiga   
Komponen ketiga ini di kenali sebagai terapi tingkahlaku kognitif yang menggabungkan aliaran ketingkahlakuan dan aliran kognitif. Tokoh-tokoh yang mempelopori terapi tingkahlaku kognitif ialah Albert Ellis (rational emotive behavior therapy-REBT) dan A.T. Beck (terapi kognitif-CT). Terapi tingkahlaku kognitif ini berorientasikan pemikiran dan tingkah laku serta menekankan peranan berfikir, membuat keputusan, menyoal, bertindak dan kembali membuat keputusan.
            Terapi tingkahlaku kognitif ialah satu model psiko-pendidikan. Ia menekankan terapi sebagai satu proses pembelajaran dalam mendapatkan dan berlatih menggunakan kemahiran-kemahiran baru, mempelajari cara-cara untuk berfikir dan mendapatkan cara-cara yang lebih efektif untuk mengatasi sesuatu masalah. Konsep-konsep utama dalam terapi tingkahlaku kognitif terbahagi kepada tiga, iaitu:
Ø      Sistem pemikiran individu ialah punca utama kecelaruan.
Ø      Dialog dalaman mempengaruhi tingkahlaku seseorang.
Ø      Klien menerokai tanggapan-tanggapan dan konsep-konsep salah dan mengubahnya dengan pemikiran yang efektif.  
Matlamat terapi tingkahlaku kognitif ialah:
Ø      Untuk mencabar klien supaya melihat pemikiran salah dengan bukti-bukti yang dikumpulkan dan dinilaikan olehnya sendiri.
Ø      Untuk membantu klien melihat dan mengurangkan pemikiran yang rigid.
Ø      Untuk menyedarkan tentang pemikiran automatik dan mengubahnya.
Ahli terapi tingkah laku kognitif menggunakan pelbagai teknik kognitif, emotif dan tingkah laku. Pelbagai kaedah diubah suai supaya ianya bersesuaian dengan keperluan individu. Terapi ini juga aktif, direktif, menggunakan tempoh masa tertentu, menekankan masa kini dan berstruktur. Antara teknik-tekniknya termasuklah dialog Socratic, mendebat pemikiran-pemikiran tak rasional, membuat kerja rumah, mengumpul data tentang terjemahan yang telah dibuat, merekod aktiviti, mebuat interpretasi alternatif, mempelajari kemahiran daya tindak baru, mengubah corak bahasa dan pemikiran, role playing, membayang (imagery), dan mencabar pemikiran salah.
Teknik-teknik dalam terapi tingkahlaku kognitif diaplikasikan dalam pelbagai cara seperti rawatan untuk kemurungan, kegelisahan, masalah rumah tangga, pengurusan tekanan, latihan kemahiran, penyalahgunaan dadah, latihan assertion, kecelaruan pemakanan, serangan panik, performance anxiety dan fobia sosial. Pendekatan terapi tingkahlaku kognitif ini sangat berguna dalam mengubah pemikiran individu. Banyak kumpulan self help yang menggunakan model-model ini. Teknik-teknik dalam terapi ini juga boleh digunakan untuk populasi yang ada pelbagai masalah khusus. Dengan lahirnya komponen yang ketiga ini maka ianya membantu mengembangkan dan mewujudkan teori kaunseling behaviorisme.    

c)      Tingkah laku maladaptif dan strategi-strategi teori behaviorisme yang membantu dalam menghadapi masalah tingkah laku maladaptif ini.
Maladapted behaviour ataupun lebih dikenali sebagai tingkah laku maladaptif adalah suatu tingkah laku yang ditegah atau tidak sesuai di dalam sesuatu masyarakat. Jika seseorang itu masih kekal dalam melakukan tingkah laku maladaptif, ianya dianggap sebagai orang yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat atau dipanggil maladapted person. Sekiranya ia menjadi pola sahsiah, maka ia di panggil tingkah laku maladjustif iaitu tingkah laku yang tidak sesuai dalam sesuatu masyarakat, seperti merompak wang atau mencuri barang orang lain. Sebaliknya jika perbuatan itu membantu orang kampung dalam menjaga keamanan kampung atau membersihkan kawasan kubur itu dipanggil tingkah laku adjustif ataupun tingkah laku yang sesuai atau dikehendaki oleh masyarakat.
            Menurut pendekatan behaviorisme, tingkah laku maladaftif atau adaptif adalah dipelajari. Ini bermaksud tingkah laku itu telah dipelajari kerana mendapat peneguhan pada masa-masa yang berbeza. Contohnya pelajar yang suka mengganggu di dalam kelas. Mungkin dia berkelakuan begitu kerana dia telah mempelajari bahawa itu adalah cara yang berkesan untuk mendapatkan perhatian kawan-kawan sekelas ataupun guru tersebut. Apabila guru memarahinya dia memperoleh kepuasan yang merupakan ganjaran baginya. Orang lain mungkin mengganggap tingkah laku ini tidak sesuai atau maladaptif tetapi tingkah laku itu telah memberinya ganjaran iaitu perhatian.
            Tingkah laku ini juga boleh dibuang atau dihilangkan. Contohnya perokok yang ketagihan menghisap rokok. Menurut teori behaviorisme, tabiat ini boleh dihilangkan atau dibuang dan digantikan dengan tingkah laku yang positive. Dari perspektif pembelajaran responden pula jika rangsangan yang menyakitkan itu digabungkan dengan rangsangan yang neutral, lama kelamaan rangsangan yang neutral ini akan menjadi maladaptif. Seperti contoh, seseorang itu kembung perut (rangsangan yang menyakitkan) jika memakan buah cempedak (rangsangan neutral). Apabila ia berlaku beberapa kali indivividu itu akan berasa takut untuk memakan buah cempedak, dan apabila dia mendengar perkataan buah cempedak, perutnya seolah-olah kembung dan sakit.
            Tingkah laku maladaptif yang lain pula dipelajari dalam proses pelaziman operan. Iaitu tingkah laku ini akan bertambah dan berterusan jika ia mendapat peneguhan yang seterusnya. Secara umumnya dalam teori kaunseling behaviorisme, semua tingkah laku yang dianggap maladaptif atau tingkah laku masalah adalah dipelajari, demi untuk mendapatkan peneguhan positif atau untuk mengurangkan kesakitan. Terdapat beberapa strategi dalam teori behaviorisme yang membantu tingkah laku yang tidak sesuai atau maladaptif ke arah tingkah laku yang baik. Antaranya ialah:
Role Play:
‘Role play’ adalah satu strategi untuk melatih seseorang dalam pelbagai perlakuan yang
sebelum ini sukar hendak dilakukan, seperti memulakan sesuatu perbualan, memberi
sesuatu pendapat dalam kumpulan kecil, atau memulakan perhubungan dengan
seseorang yang disukai. Maka strategi ini amat sesuai dalam membantu klien menghadapi tingkah laku maladaptif seperti takut atau malu untuk memberikan pendapat dalam kumpulan perbincangan, takut untuk berucap di hadapan orang ramai dan sebagainya.
Strategi ini secara langsung akan memberikan klien perasaan yang selamat dan memberi keyakinan kepada diri klien itu sendiri. Ini akan meluaskan kesedaran klien dan menunjukkan bahawa ada banyak alternatif untuk melakukan tingkah laku yang baru. Seperti contoh pelajar yang takut dan malu untuk memberikan pendapat dalam kumpulan perbincangan dalam kelasnya. Maka kaunselor hendaklah memanggil pelajar itu sendirian dan berbual dengan pelajar itu agar pelajar itu memberikan pendapat. Apabila sesi ini sudah acap kali dibuat maka pelajar tadi sudah berasa bebas, selamat dan mempunyai keyakinan diri dalam memberikan pendapatnya.  Maka pelajar itu haruslah dibenarkan kembali ke kumpulan yang asalnya. Guru kelas haruslah memberikan kerjasama yang baik dan tidak memaksa pelajar itu untuk memberikan pendapat kerana jika pelajar itu masih takut atau malu mungkin ianya boleh mengancam diri pelajar itu.
Strategi role play ini memberi peluang kepada individu ini supaya mencuba mengeluarkan tingkah laku yang baru dalam situasi yang lebih selamat sebelum diaplikasikan diluar atau di tempat-tempat yang bermasalah.
Latihan Asertif:
Strategi latihan asertf ini juga dapat membantu klien yang menghadapi tingkah laku maladaptif.  Ini kerana latihan asertif ini adalah satu teknik untuk mengajar klien menambah keyakinan diri berhadapan dengan orang yang dianggap ancaman kepada dirinya sendiri. Strategi ini dapat memberikan kekuatan secara aktif untuk memulakan tingkah laku yang dikehendaki dan mengajar klien yang tidak bermotivasi dan lemah supaya bertindak dengan lebih produktif. Ia juga dapat memberikan kekuatan secara aktif untuk memulakan tingkah laku pilihan yang dikehendaki, iaitu lantas bertindak tanpa memberi kecederaan fizikal dan emosi terhadap orang lain.
Dalam untuk meningkatkan kebolehan pengurusan diri dan penyelesaian masalah, klien haruslah membina kemahiran asertif. Jika klien bersikap agresif dan bukan asertif, klien boleh hilang pertimbangan diri dengan membiarkan orang lain mengambil kesempatan ke atas dirinya, tidak berupaya menghadapi ibu bapa, majikan atau orang lain dengan cara yang betul, atau menimbulkan respon yang tidak diingini oleh orang lain.
Pelbagai cara atau tenik dalam latihan asertif ini dalam menghadapi tingkah laku maladaptif, antaranya ialah, role-play dan melakonkan (modeling) situasi-situasi pasif, agresif, dan asertif yang biasa dihadapi oleh klien. Modeling boleh digunakan dalam pelbagai keadaan. Ianya dapat memberikan tindak balas baru dalam kemahiran dan penampilan diri terhadap perasaan takut dan mengamalkan apa yang dipelajari. Modeling dijalankan dengan memerhatikan tingkah laku ataupun cara orang lain. Secara langsung, kaunselor mengajar klien tingkah laku yang ingin dipelajari. Secara tidak langsung, modeling boleh dilaksanakan melalui filem, video atau alat perakam. Dalam kaunseling kelompok, ahli boleh menjadi model kepada klien. Maka kaedah modeling amat sesuai dalam membantu klien menghadapi masalah tingkah laku maladaptif.
Selain daripada cara role-play dan modeling ada juga cara-cara dalam latihan asertif yang juga dapat membantu klien dalam menghadapi masalah tingkah laku maladaptif iaitu melalui penerokaan masalah dan mentaksir masalah, mengulangi latihan role-play yang telah ditetapkan beberapa kali, role-reversal, iaitu melakonkan situasi yang menjadi punca klien tidak boleh melakukan tingkah laku yang asertif dan melaksanakan tingkah laku yang asertif sedikit demi sedikit. Dengan mengikuti cara-cara dalam latihan asertif, klien bukan sahaja dapat membentuk tingkah laku yang baru dan diingini dalam suasana yang selamat tetapi juga dapat bersama-sama dengan kaunselor menganalisis perlakuan-perlakuan yang harus dibentuk sedikit demi sedikit. Klien haruslah mencuba tingkah laku yang baru di luar, apabila klien sudah berasa selesa dan boleh membuat respon dengan cara yang baru ini. Akhirnya latihan asertif ini amat membantu klien dalam menghadapi masalah tingkah laku maladaptif dan mengubah kepada tingkah laku yang baik dan sesuai.
Token Ekonomi:
Token ekonomi adalah salah satu strategi yang amat berkesan dalam membantu klien menghadapi masalah tingkah laku maladaptif ini. Token ekonomi atau pemberian hadiah merupakan satu prosedur yang tersusun dan teratur dimana token atau hadiah diberikan kepada seseorang sebagai peneguhan untuk tingkah laku yang baik dan bersesuaian. Contoh token yang diberikan adalah seperti duit syiling plastik, bintang, gelang kad dan sebagainya yang boleh ditebus atau ditunaikan dengan barang-barang yang bernilai atau mendapat kemudahan-kemudahan tertentu. Ia amat berkesan apabila digunakan kepada klien yang menghadapi masalah tingkah laku yang biasa ataupun yang lebih kompleks. Menurut mereka yang telah menggunakan cara ini mendapati bahawa cara ini amat berkesan dalam membantu klien menghadapi masalah tingkah laku maladaptif dan akhirnya berjaya membentuk tingkah laku yang adaptif.
            Apa yang penting, kaunselor haruslah memastikan bahawa perubahan tingkah laku ini akan kekal dan berterusan dengan meminta bantuan guru atau ibu bapa untuk menjelaskan dan membuat komitmen membantu memahami konsep dan matlamat token ekonomi ini. Kemudian memilih tingkah laku yang mudah diberikan peneguhan, mengagihkan token serta merta, adil dan konsisten, token yang diagihkan itu mestilah mempunyai nilai peneguhan dan memastikan tingkah laku yang diubah itu hendaklah tingkah laku yang dikehendaki di luar sekolah. Oleh itu insyallah strategi ini akan berjaya membantu klien dalam menghadapi masalah tingkah laku maladaptif.
            Pengurusan, Pemantauan dan Peneguhan Kendiri:
Strategi pengurusan, pemantauan dan peneguhan kendiri ini juga dapat membantu klien dalam menghadapi ,masalah tingkah laku maladaptif. Strategi ini adalah berkaitan dengan kendiri klien iaitu klien adalah merupakan peserta yang bekerjasama secara aktif dalam proses kaunseling. Ini bermakna klien berusaha sendiri untuk mencapai perubahan yang dikehendaki sambil diberi perhatian oleh kaunselor. Dalam strategi ini klien haruslah memainkan peranan yang aktif semasa dan setiap proses kaunseling. Proses pemikiran klien akan diambil kira dan diberikan tumpuan oleh kaunselor. Klien juga akan lebih bertanggungjawab untuk berusaha dalam mencapai perubahan yang dikehendaki. Klien juga akan belajar cara peneguhan kendiri dan akan dipanggil untuk membuat pemerhatian, pemantauan, mencatit, memberi peneguhan kendiri dan kadang-kadang klien juga diminta membuat interpretasi data tingkah laku yang telah mereka catitkan. Peranan kaunselor bukanlah sebagai seorang pakar tetapi lebih kepada sebagai mentor, atau pendidik.
            Terdapat lima langkah dalam strategi ini. Yang pertama ialah mengkonsepsi dan mentakrif masalah dan memilih matlamat dalam bentuk behavioral. Ini bermakna matlamat mestilah ditentukan dahulu dan haruslah mudah difahami, penting, mempunyai nilai kepada klien, realistik, boleh dicapai dan matlamat itu haruslah positif dan membina. Langkah kedua ialah mengurus dan memantau tingkah laku sasaran. Ini bermakna klien hendaklah mencatit tingkah laku dengan segera selepas ianya berlaku. Data itu hendaklah direkodkan menggunakan kertas, pensil, jam tangan atau sebarang alat perakam yang sesuai. Klien hendaklah membuat pengiraan kekerapan, pengambilan masa atau menggunakan strategi pemantauan yang lain untuk merekod tingkah laku.
            Langkah ketiga ialah perubahan suasana persekitaran dan mengambil langkah yang sesuai. Dalam langkah ini klien haruslah cuba elakkan persekitaran dan situasi yang pasti akan melakukan respon yang tidak dikehendaki atau perlakuan maladaptif. Klien mestilah mengubahkan persekitaran, suasana dan situasi bagi memastikan klien menyedari apa yang sedang dibuat, kemudian hadkan rangsangan yang menjurus ke arah tingkah laku yang tidak dikehendaki dan akhir sekali permudahkan tingkah laku yang memberi kepuasan atau yang dikehendaki. Langkah keempat ialah Menjana Peneguhan yang sesuai dan menentukan akibat yang bermakna serta berkesan bagi klien. Iaitu klien haruslah mengenal pasti peneguhan dan akibatnya. Iaitu yang mana peneguhan positif  memberi akibat yang positif dan yang mana yang memberi akibat yang tidak selesa. Klien juga haruslah melaksanakan pemberian peneguhan supaya tingkah laku yang sesuai diberikan peneguhan dengan segera.
            Langkah yang terakhir ialah meneruskan kejayaan dan mengira apa yang telah dicapai. Dalam langkah ini dibentuk satu sistem penilaian atau feedback yang berkesan untuk memastikan yang pengurusan kendiri, pemantauan kendiri dan peneguhan kendiri boleh diubah dan dibaiki lagi atau digunakan sekali lagi untuk meneruskan matlamat sasaran. Dengan langkah-langkah yang ada dalam strategi pengurusan, pemantaun dan peneguhan kendiri ini akan dapat membantu klien dalam menghadapi masalah tingkah laku maladaptif ini.
            Secara kesimpulannya dengan menggunakan pendekatan behaviorisme, kaunselor dapat menyelami masalah klien berasaskan kefahamannya tentang perihal tingkah laku yang adaptif dan maladaptif dari kacamata teori ini.    

No comments:

Post a Comment